Perutusan Presiden
Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta seluruh kaum kerabat dan sahabat baginda serta pejuang-pejuang Al Quran hingga hari kiamat.
Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia (PERMATA Al Quran Malaysia) adalah persatuan yang telah ditubuhkan seawal tahun 1999 untuk menyatukan seluruh madrasah Tahfiz di Malaysia bagi memacu kecemerlangan Pendidikan Tahfiz Negara. Pelbagai usaha dan inisiatif telah dirancang termasuklah menyediakan satu Pelan Tindakan Strategik (PTS) ke arah memperkasa dan memartabat Maahad/Madrasah Tahfiz Negara selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).
Bengkel PTS PERMATA Al Quran 2021-2025 telah membentuk lima (5) teras untuk direalisasikan iaitu: Aspek Pemerkasaan Organisasi, Pendidikan, Kebajikan, Kesihatan & Dakwah, Pembangunan Insan Negara dan Ekonomi. PERMATA Al Quran mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Nordin bin Ahmad, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia, JAKIM, serta kakitangannya. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang begitu komited untuk membantu menghasilkan PTS ini.
Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan ahli jawatankuasa Bengkel PTS yang terdiri dari Ahli Majlis PERMATA Al Quran terpilih yang telah memeras tenaga bagi menjayakan bengkel tersebut.
Sumbangan besar ini akan menjadi pendorong kepada pihak PERMATA Al Quran dan seluruh institusi tahfiz untuk mencapai hasrat memperkasakan Maahad/Madrasah Tahfiz di Malaysia. Sekian. Terima kasih.